Gara-gara sedih restoran makanan segera ditutup warga Jakarta ‘degil’ berkumpul tak hirau Covid-19

Warga Jakarta memenuhi setiap ruang untuk bersorak sambil mengucapkan selamat tinggal pada penutupan restoran McDonald’s pertama di Indonesia. (Gambar Twitter)

Disaat seluruh dunia sedang mempraktikkan penjarakan sosial bimbang dengan penularan Covid-19 yang semakin teruk setiap hari tapi lain pula yang berlaku di Indonesia.

Penduduk di Jakarta sanggup berkumpul di luar McDonald’s Sarinah bagi menyaksikan penutupan gerai makanan segera tersebut.

Di dalam Instagram @Mcdonaldsid turut menyiarkan detik-detik penutupan McDonald yang terletak di pusat membeli-belah Sarinah, Thamrin, Jakarta Pusat.

Video itu turut menunjukkan pengurusan McDonald’s Sarinah memberikan cenderahati kepada salah satu pelanggan terakhir mereka.

Selain itu, mereka juga secara simbolik mengunci pintu masuk gerai, sebagai tanda berakhirnya operasi restoran, untuk selamanya.

“Pada masa ini kita telah sampai ke penghujung McDonald’s Sarinah Thamrin. Tempat kebanggaan bagi kita semua, di mana kenangan dikumpulkan bersama. Tetapi sayangnya kita harus pergi,” kata seorang wakil pengurusan McDonald’s, Sarinah, pada saat upacara penutupan premis tersebut.

Sejumlah pengunjung dilihat memeriahkan kawasan di luar gerai untuk menyaksikan sendiri penutupan restoran yang beroperasi hampir 30 tahun.

Walaupun, wilayah Ibu Kota menerapkan sekatan sosial berskala besar (PSBB) untuk memutuskan rangkaian Covid-19 namun sikap yang ditunjukkan warga Jakarta ternyata bertentangan.

Pengunjung memenuhi setiap ruang untuk bersorak sambil mengucapkan selamat tinggal pada penutupan restoran McDonald’s pertama di Indonesia.

“Sampai jumpa lagi, semangat untuk pasukan (McDonald’s) Sarinah,” kata para pengunjung dan disambut dengan tepukan.

Dilaporkan McDonald’s itu mula beroperasi buat pertama kali di Indonesia pada 22 Februari 1991 di bangunan Pusat Beli-belah Sarinah, Thamrin, Jakarta Pusat.

Pengarah Komunikasi Pemasaran, Digital dan CBI McDonald’s Indonesia Michael Hartono menjelaskan penutupan premis ini dilakukan atas permintaan pihak pengurusan bangunan Sarinah.

Menurutnya, pihak pengurusan Sarinah akan melakukan perubahan pada strategi perniagaan dan pengubahsuaian bangunan pusat beli belah tersebut yang dianggap sebagai salah satu warisan budaya Indonesia.

“McDonald’s secara rasmi akan menutup restoran di Sarinah Thamrin secara kekal pada hari Ahad, 10 Mei 2020 jam 22.05,” kata Michael dalam satu kenyataan bertulis.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]