Kementerian kaji cara kurangkan kesesakan di hospital, klinik

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sedang mengkaji cara mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital bagi mempermudahkan penjarakkan sosial dan mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini termasuk membuat temu janji dengan pesakit secara berperingkat.

“Ini bagi memastikan kita hanya berjumpa dengan pesakit ketika tiba waktunya. Jadi apabila janji temu dipanggil, barulah kita masuk,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau juga menarik perhatian pemberita kepada klinik virtual, iaitu perkhimatan kesihatan secara maya, langsung, dan interaktif yang dirancang merangkumi khidmat nasihat doktor, pendidikan kesihatan, dan pelan rawatan, antara anggota kesihatan dan pelanggan.

“Kami mencari banyak idea dan inovasi untuk memastikan tatacara operasi standard dipatuhi,” kata Hisham.

Kementerian Kesihatan berusaha meningkatkan pelaksanaan klinik virtual di seluruh negara untuk meningkatkan kecekapan penjagaan kesihatan pesakit luar.

Ia memberi pilihan kepada pesakit untuk mendapatkan perundingan bagi penyakit tertentu di peringkat awal.

Pada 2019, terdapat 5 klinik virtual perintis iaitu iaitu Klinik Kesihatan Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor; Klinik Kesihatan Seberang Jaya di Pulau Pinang; Klinik Kesihatan Presint 18 di Putrajaya; Klinik Kesihatan Luyang di Sabah; dan Klinik Kesihatan Tudan di Miri, Sarawak.