Kren patah di tapak projek PR1MA Bukit Mahkota akan dialih 14 Mei, kata kontraktor

Syarikat T J Civil & Structural Contractor Sdn Bhd berkata, pihaknya meminta maaf sekiranya timbul kebimbangan dalam kalangan penduduk berkait smenara kren yang rosak di tapak pembinaan projek PR1MA Bukit Mahkota. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Syarikat kontraktor menguruskan tapak pembinaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Bandar Bukit Mahkota akan mengeluarkan menara kren dari tapak pembinaan pada 14 Mei depan, susulan kebimbangan penduduk kerana kren yang patah itu tidak dialihkan sejak sekian lama.

Pengarah Projek T J Civil & Structural Contractor Sdn Bhd Ooi Kok Leong berkata, pihaknya meminta maaf sekiranya timbul ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan penduduk berdekatan, akibat kejadian membabitkan kren berkenaan.

“Sebagai kontraktor bertanggungjawab, kami patuh pada standard keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Kami tidak akan membiarkan perkara tidak diingini yang boleh membahayakan nyawa berlaku di tapak pembinaan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu FMT melaporkan, penduduk sekitar tapak pembinaan PR1MA di Bandar Bukit Mahkota bimbang susulan keadaan kren yang patah sejak sekian lama, namun tiada sebarang tindakan diambil.

Seorang pengguna Facebook, Hishamuddin Abd Majid yang berkongsi perkara berkenaan berkata, struktur kren yang patah itu berbahaya apabila kekal tergantung dan dibimbangi boleh menimpa mereka yang berada di kawasan berdekatan.

Projek tersebut bermula sejak 2017 dan dijangka siap 2021.