Menteri tuntut C4 bayar RM30 juta, mohon maaf atas dakwaan kontrak KKM

Dr Adham Baba.

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba mengemukakan surat tuntutan ganti rugi RM30 juta terhadap Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), sehari selepas NGO itu mengaitkannya dengan sebuah syarikat yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas satu kontrak dengan nilai sama.

Dalam surat itu, peguam Adham berkata, C4 mempunyai 7 hari untuk membayar RM30 juta dan membuat permohonan maaf secara terbuka, jika gagal berbuat demikian, mereka akan memulakan tindakan undang-undang terhadap NGO itu.

Cubaan mereka untuk menyerahkan surat tuntutan itu kepada C4 Consultancies Sdn Bhd, syarikat di mana C4 beroperasi, gagal kerana pejabat di Petaling Jaya ditutup hari ini.

FMT difahamkan mereka cuba menghantar surat itu ke alamat di Brickfields yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, jika gagal mereka akan ke alamat setiausaha syarikat itu di Gombak.

Peguam Nasser Yusof menampal surat tuntutan pada penutup premis di pejabat C4 di Petaling Jaya.

Peguam Nasser Yusof berharap C4 akan menjawab tuduhan terhadapnya.

“Tuntutan C4 ialah fitnah. Mereka membayangkan menteri itu korup dan ini merosakkan imej baiknya.”

Semalam, Adham menolak dakwaan C4 dengan menyifatkannya cubaan berniat jahat untuk membunuh karakternya.

Satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya berkata, Adham tiada kepentingan perniagaan dalam Khazanah Jaya Sdn Bhd yang dinamakan C4 atau sebarang hubungan dengan pemegang sahamnya.

C4 mendakwa Adham mempunyai kaitan dengan firma itu melalui seorang pemegang saham dalam syarikatnya yang memiliki rangkaian klinik swasta di Johor.

Shamsul Najmi Shamsuddin, setiausaha politik Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, menunjukkan salinan surat tuntutan yang dihantar kepada C4 pagi tadi.

Katanya, pemegang saham itu menganggotai lembaga pengarah South Asia Noble Sdn Bhd (SANSB) yang termasuk 2 pengarah dari Khazanah Jaya.

Tetapi, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pemegang saham itu, Iskandar Miza Ahmad, meninggalkan lembaga pengarah SANSB pada 30 Jan 2015, manakala 2 pengarah Khazanah Jaya, Tan Boon Keong dan Tan Jiat Jui, hanya menyertai SANSB pada hari terakhir Iskandar berada di syarikat terbabit.

SPRM melancarkan siasatan ke atas beberapa kontrak yang didakwa diberikan selepas rundingan langsung KKM untuk pemerolehan peralatan bagi menangani penularan Covid-19. Peralatan itu termasuk kit ujian dan alat perlindungan.

Terdahulu, agensi anti-rasuah itu menafikan laporan mendakwa beberapa pegawai KKM ditahan dalam serbuan berhubung perkara itu.