Pemandu rempuh polis hingga mati didakwa di mahkamah esok

Dalam insiden pada pagi 3 Mei lepas, Koperal Safwan Muhammad Ismail maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah setelah dirempuh kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu lelaki dipercayai mabuk di sekatan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Lelaki yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh seorang anggota polis hingga maut dalam sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di Kajang 3 Mei lepas, akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan hari ini berkata, lelaki itu akan dituduh dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kajang pada pukul 9 pagi.

“Lelaki itu akan dituduh mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu di bawah pengaruh alkohol serta memandu tanpa lesen sah.

Selain itu, lelaki itu juga akan dituduh mengikut Seksyen 26(1) Akta Polis 1967 kerana tidak berhenti di sekatan jalan raya dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, atas kesalahan berada di luar rumah tanpa alasan munasabah ketika perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Dalam insiden pada 2.11 pagi 3 Mei lepas, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu.

Sebelum ini, lelaki terbabit ditahan reman 6 hari yang berakhir Jumaat lepas untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Bagaimanapun, lelaki itu ditahan semula pada hari yang sama untuk disiasat di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.