Penduduk berang hutan ditebang untuk bina rumah di Bukit Cerakah Shah Alam

Sebuah jengkaut sedang membersihkan tanah di tapak pembinaan di hutan simpan Bukit Cerakah.

SHAH ALAM: Penduduk yang tinggal bersebelahan hutan simpan Bukit Cerakah di sini berang dengan pembangunan hartanah dekat sebuah hutan simpan menghadap sebuah tasik, tetapi pemaju mendakwa tapak tanah itu tidak lagi diwartakan.

Ahli sebuah persatuan penduduk, Yuga Shanti berkata kerja pembinaan tetap diteruskan walaupun terdapat larangan ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Ini ialah kawasan tadahan air dan pembangunan itu akan mencemarkan tasik semula jadi,” katanya kepada FMT ketika lawatan ke tapak di kawasan yang dikenali sebagai Perdana Heights.

Timbul kebimbangan berhubung kesan ke atas hidupan liar, seperti tapir dan haiwan lain. Seekor harimau ditemui melahirkan anaknya di dalam hutan itu.

Kawasan ini yang dahulunya hutan tebal ialah sebahagian daripada kawasan hijau Bukit Cerakah di Shah Alam.

Pada 2008, Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Noor dilaporkan memberi jaminan kepada penduduk Perdana Heights yang tasik itu akan dikekalkan dan tiada pembangunan di lereng bukit akan berlaku di kawasan mereka, sejajar dasar negeri itu.

Ketika lawatan FMT ke tapak itu, 2 jengkaut sedang menggali tanah di lokasi berkenaan. Satu laluan sepanjang kira-kira 1km yang merentasi hutan tebal sudah dibersihkan, dan lebih banyak pembersihan sedang dilakukan.

Seorang sub-kontraktor di tapak berkenaan berkata, pihak berkuasa sudah memberi kelulusan untuk pembersihan tanah itu.

Pandangan satelit sebahagian hutan Bukit Cerakah berdasarkan Google Maps.

“Kami memulakan pembersihan tanah pada 15 Mac, kemudian PKP diumumkan pada 18 Mac. Kami mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 28 April untuk melakukan kerja itu ketika PKP,” kata sub-kontraktor yang hanya mahu dikenali sebagai Sau.

Katanya, kerajaan memberi kelulusan pada Januari atau awal Februari lalu.

YCH Developer Sdn Bhd ketika dihubungi berkata, pewartaan ke atas tanah itu dibatalkan beberapa tahun lalu.

Yuga Shanti bimbang dengan kesan pembangunan ke atas kawasan tadahan air dan tasik semula jadi.

Pengurus projek syarikat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Chai berkata, kawasan pembangunan ialah sebahagian daripada Bukit Cerakah.

Katanya, kerajaan memberi kelulusan ke atas laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan kelulusan lain yang diperlukan untuk membangunkan tanah seluas 50 ekar bagi pembinaan kediaman.

Ditanya kenapa syarikat itu tidak menemui penduduk, katanya, ia bercadang berbuat demikian tidak lama lagi.

FMT sedang menghubungi kerajaan Selangor.