Perbicaraan Najib pinda laporan audit 1MDB disambung Jun

Najib Razak didakwa meminda laporan audit 1MDB. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan Najib Razak meminda laporan audit 1MDB yang kali terakhir didengar pada Januari lalu akan disambung semula bulan depan, menurut Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Garib.

Beliau memberitahu FMT, tarikh baru itu disampaikan pembantu pendaftar kanan Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas melalui e-mel petang semalam.

Perbicaraan di depan Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan diadakan dari 15 hingga 18 Jun, 29 dan 30 Jun, 1 hingga 3 dan 27 hingga 30 Julai ini.

Pendengaran terakhir pada 16 Jan lalu menyaksikan Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, bekas pengarah audit di Jabatan Audit Negara, diperiksa balas peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Najib didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan beliau meminda laporan audit 1MDB antara 22 hingga 26 Februari 2016.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib untuk meminda laporan akhir itu sebelum ia diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Sementara itu, perbicaraan rasuah 1MDB Najib akan disambung semula 19 hingga 22 Mei ini.

Jika tiada sebarang keadaan di luar jangkaan, ia akan disambung dari Jun hingga Oktober.

Dalam kes itu, Najib berdepan 4 pertuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Perbicaraan SRC International Najib juga hampir selesai dengan pihak terbabit akan membuat penghujahan lisan mulai 1 hingga 3 Jun ini selepas pihak pembelaan menutup kes mereka.

Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau turut berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang dan 3 pertuduhan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaun peribadinya.