PKPD Pusat Bandar Utara tamat sepenuhnya hari ini

Kementerian Kesihatan sudah melakukan pemeriksaan Covid-19 ke atas semua penduduk di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong KL bawah PKPD.

PUTRAJAYA: Kawalan ketat di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, Gombak akan tamat sepenuhnya hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan berakhirnya perintah kawalan pergerakan diperketatkan itu pada sidang media hari ini.

“Kementerian Kesihatan telah melakukan pemeriksaan Covid-19 ke atas semua penduduk yang terlibat,” tambahnya.

Pusat Bandar Utara, yang dibahagikan kepada 8 parcel, dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur bawah kawalan ketat sejak sejak 20 Apr.

Kawalan ketat di Parcel A dan B di Pusat Bandar Utara serta Pasar Borong Kuala Lumpur tamat pada 4 Mei, dan dilanjutkan sehingga 12 Mei bagi C, D, E1, E2, E3, dan F.

Sementara itu, kawalan ketat di Selayang Baru akan dilanjutkan sehingga tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Negara memutuskan fasa mendidik masyarakat mengenai perintah kawalan pergerakan bersyarat sudah berakhir.

Dengan ini, mereka yang enggan mematuhi tatacara operasi standard akan dibawa ke muka pengadilan bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Hukuman maksimum RM1,000 atau 6 bulan penjara, atau kedua-duanya,” kata Ismail.