PKR akan saman 2 Adun Kedah RM10 juta kerana keluar parti

Dua Adun Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) mengumumkan penarikan diri daripada PKR pada sidang media hari ini.

ALOR SETAR: PKR Kedah berkata ia akan menyaman 2 Adun yang keluar parti RM10 juta setiap seorang kerana “mengkhianati” parti dan pengundi.

Pengerusi PKR negeri Johari Abdul berkata Adun Sidam Robert Ling Kui Ee dan Adun Lunas Azman Nasarudin telah berikrar untuk tidak keluar parti sebelum pilihan raya dan sedar tentang implikasi undang-undang sekiranya berbuat demikian.

“Saman akan dikemukakan dan mereka hendaklah bersedia berdepan akibat perbuatan mereka.

“Mereka menjadi Adun selama 2 penggal atas sokongan rakyat yang memilih mereka bukan atas kekuatan mereka, tetapi kerana lambing yang dibawa, iaitu lambang PKR.

“Saya percaya rakyat di Lunas dan Sidam berasa marah atas keputusan mereka keluar parti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dua Adun itu mengisytiharkan diri sebagai anggota Bebas terdahulu hari ini dengan berkata, ia berikutan perbezaan dengan kepimpinan PKR pusat dan presiden parti Anwar Ibrahim.

Johari berkata, dengan keluar PKR dan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Azman dan Ling turut memberi sokongan kepada Perikatan Nasional, sekali gus “meninggalkan PKR serta perjuangannya membela rakyat selama 22 tahun.”