Polis tahan 2 beranak didakwa dera pembantu rumah di Sitiawan

Pembantu rumah Indonesia memberitahu polis beliau dipukul dengan sebatang besi jika enggan bekerja.

LUMUT: Polis Manjung berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki dikurung dan diberi sisa makanan serta tidak dibayar gaji selama 2 tahun oleh majikannya.

Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi berkata, mangsa berumur 44 tahun itu diselamatkan selepas polis menyerbu sebuah rumah kira-kira pukul 2.30 petang semalam di Sitiawan dekat sini, susulan maklumat orang awam yang membuat panggilan ke MERS 999.

Katanya, dalam serbuan itu, polis menahan seorang wanita berumur 48 tahun bersama anak perempuannya berusia 25 tahun.

“Mangsa mendakwa dikurung di dalam rumah dengan dipaksa bekerja tanpa dibayar gaji sejak 2 tahun yang lalu tanpa mengira masa dan jika enggan, mangsa akan dipukul menggunakan sebatang besi.

“Mangsa juga mendakwa hanya diberi makan bekas sisa makanan yang tidak habis, selain tempat tidur yang tidak terurus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Omar berkata, hasil siasatan mendapati mangsa datang ke Malaysia sejak 2018 melalui Pasir Gudang, Johor, yang diuruskan ejen pembantu rumah, sebelum dihantar ke rumah suspek untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Katanya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian air kencing adalah negatif.

“Mangsa kini diberi perintah perlindungan interim (IPO) oleh Mahkamah Seri Manjung selama 21 hari bermula hari ini dan akan dihantar ke rumah perlindungan selepas selesai menjalani rawatan.

“Kedua-dua suspek direman selama 4 hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Akta Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.