Pulau Pinang benar sektor, aktiviti di bawah PKPB beroperasi semula mulai esok

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, aktiviti ‘dine-in’ atau makan di dalam premis makanan akan dibenarkan secara berfasa bermula Jumaat.

GEORGE TOWN: Semua sektor ekonomi dan aktiviti yang dibenarkan oleh kerajaan Persekutuan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan beroperasi semula di Pulau Pinang mulai esok, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Pembukaan semula semua sektor dan aktiviti itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri hari ini, kata Chow di Facebook.

“Bermula esok, 13 Mei, Pulau Pinang akan memasuki fasa pembukaan dalam strategi pemulihan berperingkat negeri. Semua sektor dan aktiviti yang dibenarkan oleh kerajaan persekutuan di bawah PKPB adalah dibenarkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, aktiviti dalam senarai larangan yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan masih kekal dan hanya aktiviti dibenarkan boleh beroperasi di negeri itu.

Beliau berkata aktiviti “dine-in” atau makan di dalam premis makanan meliputi hotel, pasar raya dan francais makanan segera akan dibenarkan secara berfasa bermula Jumaat ini dan garis panduan berhubung pelaksanaannya akan diumumkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) esok.