Ramai ke pajak gadai tiada kaitan literasi kewangan Islam

Situasi orang ramai beratur di kedai pajak gadai ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) tiada kaitan dengan peningkatan literasi kewangan Islam, sebaliknya ia adalah realiti kesempitan hidup rakyat yang terus bergelut dengan kemiskinan.

Ia susulan catatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Twitternya yang menyebut keadaan orang ramai memenuhi kedai pajak gadai Islam ialah sesuatu yang positif kerana mereka mula menzahirkan kadar literasi kewangan Islam yang semakin tinggi.

Tidak ada ertinya Zulkifli menyentuh perihal kewangan Islam dan memuji institusi pajak gadai Islam sedangkan rakyat terdesak mencari wang untuk menyara hidup.

Persoalannya, setakat itu sajakah batas seorang menteri agama dan bekas mufti yang disegani berbicara tentang kesempitan hidup umat di negaranya sendiri?

Keadaan ini menyedihkan. Ia seolah-olah memberikan gambaran agamawan negara terperangkap dalam kerangka ju’ziyyat atau menyibuk hal “boleh dan tidak boleh”.

Bagaimana dengan perbincangan kritis mengenai kulliyat, iaitu membincangkan isu lebih besar demi kebaikan sejagat? Misalnya, berdialog atau berdebat dalam mencari penyelesaian kepada isu kemiskinan yang sedang melarat.

Di saat seluruh rakyat berdepan ancaman pandemik Covid-19, menteri agama dan kementeriannya wajar menambah baik peranan baitulmal.

Dan, Ar-Rahnu tidak patut menjadi pilihan utama bagi mereka yang berdepan kesempitan wang.

Tindakan beliau memuji pajak gadai Islam sebenarnya tidak ada masalah. Cuma, mesejnya seolah-olah berbunyi: “Saya simpati dengan keadaan yang anda hadapi. Tapi, tahniah kerana memilih Ar-Rahnu, bebas riba!”

Ia sepatutnya berbunyi: “Tuan/Puan boleh memohon bantuan atau pinjaman di baitulmal, tidak perlulah ke Ar-Rahnu, simpan harta anda. Jangan pajak.”

Lupakah kita, khalifah kedua Islam, Umar al-Khattab pun tidak tidur di malam hari kerana sibuk mencari rakyatnya yang susah untuk diberikan bantuan baitulmal.

Ini, rakyat beratur mencari wang di depan mata, yang disebutnya tentang memuji pajak gadai Islam atau tidak.

Dengan pengaruh yang mereka ada, tidak kira bekas mufti atau penceramah popular, inilah masanya untuk mereka sedarkan golongan kaya dan pemimpin berharta tentang roh Ramadan.

Bulan ini bertunjangkan solidariti terhadap orang dalam kesusahan, bukannya bercerita baik buruk pusat pajak gadai Islam atau konvensional.

Zulkifli antara 2 tokoh bukan politik yang dilantik sebagai anggota Kabinet oleh Muhyiddin Yassin susulan pelantikan beliau sebagai perdana menteri ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 1 Mac lepas.

Kita harus ingat, beragama bukan saja berkisar tentang bacaan kitab suci agama, tetapi juga menghidupkan roh dari kitab suci, iaitu membuat manusia sejagat berasa bahagia.

Ini termasuklah memenuhi haknya sebagai insan, seperti menolak sebarang diskriminasi, baik lisan mahupun perbuatan, infaq pada yang tidak berpunya apa-apa, memberi makan kepada yang lapar, memberi tempat tinggal kepada yang tidak berumah, menghentikan sentimen kebencian dan lain-lain perkara.

Sekiranya agamawan masih terperangkap seputar hukum “boleh dan tidak boleh”, sudahnya nanti agama dilihat sebatas perihal ritual individualistik.

Ianya bukan lagi soal amal kebaikan untuk keharmonian bersama.

Sebabnya, agamawan yang mengajar kita begitu.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.