Tak perlu tergesa-gesa ke kaunter LHDN untuk rayuan BPN

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob menasihatkan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk membuat rayuan Bantuan Prihatin Nasional.

Beliau mengingatkan tempoh rayuan dibuka sehingga 31 Mei dan menasihatkan mereka kaunter LHDN juga mematuhi penjarakkan sosial 1 meter.

“Jadi banyak masa lagi. Tidak kira di mana-mana sahaja tidak kira sama ada di kaunter LHDN atau pasar, restoran, pasar raya, mereka mesti patuhi dari segi penjarakkan sosial,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau ditanya mengenai wujud kebimbangan ramai berkumpul di kaunter LHDN untuk membuat rayuan, dibimbangi mengundang risiko jangkitan Covid-19.

Kementerian Kewangan melanjutkan tempoh rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional sehingga 31 Mei ini selepas kerajaan mengambil kira aduan orang ramai yang gagal memohon atas pelbagai sebab.

Ismail berkata satu perbincangan akan diadakan dengan polis meminta kehadiran anggota untuk pastikan penjarakkan sosial di kaunter LHDN.