Terkandas di Melbourne, warga Malaysia tunggu ‘diselamatkan’ selepas penerbangan batal

Warga Malaysia di Melbourne diminta tunggu sehingga Julai untuk terbang pulang.

PETALING JAYA: Ramai warga Malaysia yang mahu terbang pulang dari Melbourne mengadu tentang tekanan kewangan dan emosi kerana tiada penerbangan ke Kuala Lumpur.

Ada yang beritahu FMT mereka kecewa apabila konsulat Malaysia di Melbourne beritahu mereka perlu tunggu hingga Julai untuk dapatkan penerbangan.

Mereka kata pada mulanya mereka lega Malaysia Airlines sudah menjadualkan 1 penerbangan pada 25 Mei tetapi sedih apabila syarikat penerbangan itu membatalkannya 20 minit selepas ia dibuka untuk tempahan.

Mereka menyuarakan kekecewaan mereka menerusi kumpulan sokongan kuarantin Covid-19 di Facebook.

Mungkin kes paling jelas melibatkan seorang pelajar universiti, Ng yang bapanya didiagnos dengan kanser paru-paru dan otak tahap 4. Doktor beritahu bapanya ada kurang dari 3 bulan untuk hidup.

Ng, dari Ipoh, beritahu FMT melalui emel yang dia sedia membatalkan visa pelajarnya, yang akan luput pada September, untuk berada di sisi bapanya.

“Sabtu lepas, bapa saya masuk hospital sekali lagi kerana sukar bernafas,” katanya. “Saya perlu segera pulang.”

Dia dan ramai lagi warga Malaysia membeli tiket untuk penerbangan 25 Mei sebaik sahaja dapat tahu ia boleh ditempah.

“Tetapi apabila kami hubungi MAS, kami diberitahu: ‘Kami tak pasti ia boleh diteruskan. Kami perlukan lebih ramai orang beli tiket untuk teruskan penerbangan ini’.”

Beliau berkata mereka yang sudah membeli tiket diberitahu melalui e-mel 6 jam kemudian bahawa penerbangan itu sudah dibatalkan.

“Satu lagi pilihan adalah menaiki Qatar Airlines tetapi saya perlu bayar RM10,000. Saya perlu terbang ke Qatar dan kemudian ke KL, yang akan mengambil masa 24 jam.

“Nampaknya saya tiada pilihan selain pinjam wang kawan-kawan untuk pulang. Saya malu dan kecewa dengan syarikat penerbangan negara.”

Seorang lagi pelajar, Emily Yeoh berkata pengalamanan sama seperti Ng. Dia terima e-mel mengenai pembatalan penerbangan itu 20 minit selepas tempahan dibuat.

“Saya cuba minta bayaran balik penuh, tetapi khidmat pelanggan Malaysia Airlines kata saya hanya boleh dibayar balik dengan baucar penerbangan, yang perlu digunakan sebelum 30 Jun 2021.

“Saya faham MAS berdepan banyak cabaran kerana Covid-19, tetapi bukankah syarikat penerbangan itu patut fikir dengan teliti tentang menyediakan penerbangan dan tidak membatalkannya pada saat-saat akhir?

“Saya tertanya kenapa MAS membuka tempahan untuk penerbangan ini sedangkan tidak pasti ia akan berlepas.”

Dia sebelum itu menempah penerbangan AirAsia ke KL yang dijadualkan pada 2 Jun, tetapi itu juga dibatalkan.

“Saya bimbang tidak ada penerbangan untuk 2 hingga 3 bulan akan datang, terutama jika Australia atau Malaysia mengenakan sekatan sekali lagi.”

Yeoh, yang terlibat dalam program pertukaran di Universiti Monash sehingga penghujung Julai, berkata dia hanya boleh tinggal di situ sehingga penghujung Jun kerana sewa untuk kediamannya akan tamat ketika itu. Katanya, tiada guna berada di Australia kerana semua kelas kini dalam talian.

Foo Tun Xiang, seorang lagi pelajar, memulakan petisyen “expression of interet” di Google Forms untuk menyelamatkan warga Malaysia yang terkandas di Melbourne.

Menjelang 10 malam semalam, petisyen itu sudah mendapat sokongan lebih 80 orang yang mahu pulang.

Foo perlu pulang ke Petaling Jaya kerana perjanjian tempoh sewaannya tamat pada Jun. Katanya, dia menempah 1 penerbangan MAS yang dijadualkan pada 4 Jun pada Februari, semasa tiket kelas ekonomi dijual pada harga A$700 (kira-kira RM2,000).

MAS membatalkan penerbangan itu pada April.

Foo berkata keluarganya menunggu kepulangannya sejak bulan lepas.

“Faktor pendorong yang terbesar adalah keselamatan yang ditawarkan Malaysia kepada warga dan penduduk,” katanya.

“Australia juga menawarkan perkara sama kepada warga dan penduduk dan mengalakkan pelajar antarabangsa pulang jika tak boleh menanggung diri sendiri.

“Walaupun saya boleh tanggung diri sendiri dalam jangka masa pendek, pulang jadi keutamaan kerana tempat sendiri. Kos sara hidup juga lebih rendah.

“Universiti Melbourne akan mengatur untuk pelajar yang tidak dapat pulang ke Australia pada semester seterusnya.”

FMT sudah menghubungi Malaysia Airlines, AirAsia, dan Kementerian Luar untuk mendapatkan komen.