Tukang gunting rambut di Pulau Pinang mohon bantuan kewangan

Maruthuvar Sangam Pulau Pinang meminta kerajaan memberi kebenaran kepada pemilik premis gunting rambut, terutamanya di zon hijau untuk beroperasi semula sepanjang PKPB.

GEORGE TOWN: Sebuah persatuan penggunting rambut India memohon Putrajaya dan kerajaan Pulau Pinang menyediakan bantuan kewangan khusus untuk tukang gunting rambut yang teruk terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Maruthuvar Sangam Pulau Pinang, M Tamilmany berkata, setakat ini tiada bantuan khas disediakan untuk golongan itu dan rata-rata pemilik kedai gunting rambut kehilangan punca pendapatan kerana tidak dibenarkan beroperasi sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Di Pulau Pinang ada lebih kurang 150 kedai gunting rambut melibatkan kira-kira 450 tukang gunting rambut. Kehidupan kami terjejas teruk. Lebih 2 bulan kedai tidak dibuka dan kami tidak mempunyai pendapatan. Kami kehilangan punca pendapatan antara RM2,000 ke RM3,000 sebulan.

“Ada di antara kami yang hanya mendapat upah apabila bekerja saja. Kebanyakan tukang gunting rambut adalah golongan berpendapatan harian dan ada di antara mereka yang dibayar komisen mengikut bilangan orang yang menggunting rambut,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk memohon bantuan kewangan daripada kerajaan negeri hari ini.

Sementara itu, Bendahari persatuan itu, V Tharmaraj meminta kerajaan memberi kebenaran kepada pemilik premis gunting rambut, terutamanya di zon hijau untuk beroperasi semula sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, pemilik premis akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKPB dan rata-rata pemilik premis juga bersedia beroperasi semula.

“Untuk peringkat permulaan ini, saya mencadangkan kerajaan hanya benarkan perkhidmatan gunting rambut saja. Ini kerana ramai pelanggan yang meminta kami pergi ke rumah untuk gunting rambut, tapi kami tidak boleh melaksanakannya demi mematuhi arahan PKP.

“Kami bersedia mengikuti SOP yang ditetapkan seperti menjaga jarak sosial, menggunakan pelitup muka, menyediakan cecair pembasmi kuman, melakukan disinfeksi harian premis dan sebagainya.

“Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini,” katanya yang menjadi tukang gunting rambut selama 18 tahun.