Lelaki 30 tahun korban terbaru Covid-19

PUTRAJAYA: Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun menjadi korban terbaru berkaitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian ke-110 itu ditemui mati di Rompin, Pahang.

Mangsa didapati positif Covid-19 pada 12 Mei berdasarkan keputusan ujian sampel yang diambil semasa bedah siasat.

“Kes ini bawah siasatan polis dan Pejabat Kesihatan Rompin. Punca jangkitan belum dikenalpasti dan masih dalam siasatan,” katanya.

Mangsa terbaru ini antara 2 kematian yang diumumkan Hisham pada sidang media hari ini. Perkembangan ini menjadikan keseluruhan angka korban 111 orang.

Dalam perkembangan sama, 37 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 6,779 orang.

Hisham berkata 21 kes daripadanya dalam kalangan bukan warga Malaysia. “Ingin dimaklumkan juga, terdapat 4 kes import dan 33 kes penularan tempatan.”

Ketika ini seramai 1,387 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 16 di unit rawatan rapi dengan 4 memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, 58 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 5,281 orang.

Mengenai kematian ke-2 hari ini, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 90 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik pernafasan.

Kes kematian ke-111 ini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang, Johor pada 16 April dan disahkan meninggal dunia pada 13 Mei 10.36 pagi.

Jumlah keseluruhan mangsa yang pulih bersamaan 77.9% daripada jumlah keseluruhan kes, manakala jumlah keseluruhan kes kematian bersamaan 1.64%.