Ahli Parlimen Pasir Salak dilantik pengerusi Prasarana

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dilantik sebagai pengerusi kumpulan Prasarana berkuat kuasa 11 Mei.

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mengumumkan pelantikan ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi kumpulan berkuat kuasa 11 Mei 2020.

Pelantikan tokoh perniagaan yang berpengalaman itu menggantikan bekas Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim yang meletak jawatan pada 7 Mei lepas.

“Lembaga pengarah dan pihak pengurusan kumpulan Prasarana mempunyai keyakinan penuh atas kewibawaan dan ketokohan Datuk Seri Tajuddin untuk memacu program transformasi sistem pengangkutan awam negara dan memartabatkan perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia yang berkelas dunia, yang diamanahkan kepada kami.

“Pihak lembaga pengarah, pengurusan kanan dan seluruh warga kerja kumpulan Prasarana juga ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Zaharah atas segala khidmat beliau sepanjang perkhidmatannya sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tajuddin yang berasal dari Kampung Gajah, Perak merupakan graduan Universiti Malaya dengan ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) pada tahun 1972 dan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 1972.

Pada 1973, Tajuddin beralih kepada sektor swasta yang lebih mencabar untuk bekerja sebagai pengurus jualan di syarikat Cycle & Carriage (M) Sdn Bhd, pemegang francais dan pengedar tunggal kereta buatan Mitsubishi Motors, dan 2 tahun kemudian beliau dinaikkan pangkat kepada pengurus pemasaran.

“Berbekalkan pengalaman bekerja dengan Cycle & Carriage itu, beliau mengambil langkah berani sebagai pengasas dan peneraju sebuah kumpulan automotif yang terlibat dalam pengimportan, pemasangan serta pengedaran kereta penumpang dan komersial Mitsubishi dan Isuzu.

“Beliau merupakan pengarah urusan kumpulan kepada syarikat United Assembly (Services) Sdn Bhd, United Straits Fuso Sdn Bhd, Automotive Corporation ( M ) Sdn Bhd dan United Cycles Sdn Bhd,” katanya.

Selain industri automotif, Tajuddin juga terlibat dalam pembangunan hartanah dan pendidikan tinggi swasta sebagai pengusaha dan pengerusi TAJ International College di Ipoh, Perak.

Beliau turut memegang pelbagai jawatan penting dalam sektor korporat, iatu pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak (2005 – 2008); pengarah Asia Brands Corporation Berhad (2006 – 2007); pengarah Maju Perak Holdings Berhad (2009 – 2011) dan pengerusi Felcra Berhad (2008 – 2013).

Beliau juga tokoh politik yang memegang jawatan di pelbagai peringkat sejak tahun 1975 sehingga sekarang, iaitu ketua Pemuda Umno Pasir Salak (1982 – 1988); ahli exco Pemuda Umno Malaysia (1986 – 1988); ketua Umno Pasir Salak (2004 – sekarang) dan ahli Majlis Tertinggi Umno (2009 – sekarang).

Beliau juga berkhidmat sebagai Adun Kampung Gajah, Perak (2004 – 2008), ahli Parlimen Pasir Salak (2008 – sekarang), dan timbalan menteri pertanian dan asas tani antara 2013 dan 2018.