Bas sekolah dibenar bawa pekerja kilang

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk membenarkan bas sekolah membawa pekerja kilang semasa sekolah ditutup dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata ini bagi membantu pengusaha bas sekolah yang hilang pendapatan.

“Boleh berbincang dengan syarikat tertentu untuk bantu bawa pekerja kilang sewaktu PKPB semasa sekolah tak dibuka,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata pengusaha bas sekolah tidak dibenarkan mengenakan bayaran ke atas ibu bapa para pelajar semasa sekolah ditutup dalam tempoh PKPB.

Kementerian akan ambil tindakan terhadap pengusaha bas yang berdegil.

“Sepatutnya tidak berlaku, soal mereka mengenakan bayaran,” katanya.

Sebelum ini, Ismail menegaskan pengusaha bas sekolah tidak sebab meminta bayaran bulanan daripada ibu bapa para pelajar kerana tiada perkhidmatan penghantaran ke sekolah.