Kawalan ketat sempadan penting untuk cegah jangkitan Covid-19, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kawalan sempadan amat penting bagi mengawal penyebaran Covid-19 kerana ada rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikesan positif wabak itu hanya selepas menjalani ujian kali kedua.

“Pengawalan sempadan amat mustahak kerana kita telah melihat orang yang pulang ke Malaysia, daripada 360 kes positif, 88 di dapati positif apabila menjalani ujian swab ke-2.

“Ujian swab pertama negatif. Selepas kuarantin, pada hari ke-14 kita buat ujian swab semula dan mereka positif,” katanya pada sidang media hari ini.

Hisham berkata, oleh sebab itu Kementerian Kesihatan (KKM) sangat berhati-hati mengenai cadangan untuk membuka semula sempadan negara.

Katanya, ia mungkin perkara terakhir yang perlu dilakukan.

“Sekarang ini kita sedang teliti penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat tempatan. Jika kita dapat mengawal, maka pada masa akan datang kita akan melihat keadaan global sebelum membuka sempadan semula.

“Tetapi akan ada SOP dan kuarantin (jika sempadan dibuka),” katanya.

Dalam pada itu Hisham berkata, hasil daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dilihat bermula dari 18 Mei dan KKM akan melihat sama ada akan membuka lebih banyak sektor ekonomi dan pendidikan.

“Jika kes selepas 18 Mei masih dalam kawalan kita, ia bermakna kita boleh membuka lebih banyak sektor. Tetapi jika kes terus meningkat, maka kita harus kaji balik keputusan kita.

“Pilihannya sekarang terpulang kepada masyarakat, sama ada kita boleh mematuhi disiplin sosial,” katanya.