Kementerian akan bentang cadangan tambang pengangkutan awam

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan membentangkan cadangan berhubung isu kenaikan tambang pengangkutan awam susulan pengurangan bilangan penumpang kepada separuh daripada biasa dalam mematuhi peraturan penjarakkan sosial.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya mendapat rungutan daripada pengusaha pengangkutan awam susulan peraturan itu dan sedar ia sedikit sebanyak turut menyebabkan kenaikan harga tambang.

“Jadi kementerian akan lihat perkara ini supaya tidak ada kerugian pada pengusaha-pengusaha pengangkutan awam. Kementerian akan membentangkan cadangan mereka di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri nanti,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau ditanya tentang aduan sesetengah pihak mengenai tambang pengangkutan yang agak tinggi dengan alasan diberikan pengusaha kerana terpaksa mengurangkan kapasiti penumpang.