Keputusan pelucutan hak wang Jakel dikaitkan 1MDB diketahui 4 Jun

Jakel Trading didakwa memiliki wang berjumlah RM10 juta dipercayai berkait dengan skandal 1MDB.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan mengenai permohonan kerajaan untuk melucut hak wang berjumlah RM628,314, yang didakwa berkaitan dengan skandal 1MDB daripada Jakel Trading, pada 4 Jun ini.

Keputusan itu sepatutnya disampaikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 28 April tetapi dijadualkan semula kepada 4 Jun berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Jakel Trading, Thevini Nayagam apabila dihubungi Bernama hari ini.

Pada Jun tahun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan saman pelucutan hak terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Najib Razak.