Najib: PH masih tadbir Putrajaya, jika tambah baik, bukan buang program kerajaan BN

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, sistem dan hirarki diamalkan Umno menyukarkan parti memilih calon bersesuaian untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak tidak menolak kemungkinan Pakatan Harapan (PH) masih menerajui Putrajaya sekiranya gabungan politik itu tidak menolak usaha-usaha baik dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu.

Najib berkata, menolak bulat-bulat usaha murni yang dilakukan kerajaan BN merupakan kesilapan besar kerajaan PH kerana sewajarnya gabungan itu membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Mereka buat kesilapan amat besar sebab masuk dalam kerajaan, mereka tolak semua dilakukan kerajaan BN tanpa membuat kajian sama ada ia merupakan perkara baik atau tidak. Sepatutnya bila masuk dalam kerajaan, kerangka pemikiran mereka bukan macam itu.

“Dia patut teruskan apa yang baik dilakukan BN dan lakukan penambahbaikan. Kalau PH buat pemikiran begitu, mungkin hari ini (Ia) masih berkuasa dan tidak ditolak rakyat,” katanya dalam satu wawancara khas sempena hari ulang tahun Umno ke 74, hari ini.

Menurut Najib, PH sebaliknya bertindak menyalahkan semua perkara ke atas BN, seolah-olah apa yang dilakukan kerajaan BN sejak mentadbir Putrajaya merugikan negara dengan melaksanakan projek tidak masuk akal.

“Namun niat mereka untuk hempap segala-gala yang kita lakukan seolah-olah merugikan negara dan melaksanakan projek tidak masuk akal. Tetapi niat itu akhirnya ditolak rakyat dan rakyat tidak nampak apa yang mereka buat dalam tempoh 21 bulan,” katanya merujuk kepada tempoh pemerintahan PH sejak mengambil alih kuasa selepas pilihan raya umum Mei 2018 hingga tarikh kejatuhannya pada 24 Mac lepas.

Sementara itu, Najib turut mencadangkan kepada Umno supaya berubah dan melakukan pembaharuan supaya terus relevan di mata rakyat, khususnya golongan muda, yang akan menjadi pengundi terbesar pada pilihan raya umum akan datang.

Baginya, sistem dan hirarki diamalkan Umno pada hari ini menyukarkan parti memilih calon bersesuaian untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

Menurutnya, parti tersepit antara golongan profesional dan pemimpin lama.

“Misalnya kalau seseorang profesional, dia kena bermula sebagai seorang ahli di peringkat cawangan, selepas itu nak sampai ke peringkat bahagian, perjalanan itu agak sukar, sebelum dia sampai ke peringkat yang boleh diiktiraf sebagai pemimpin utama bahagian.

“Berbanding dengan pembangkang, hari ini masuk parti, esok sudah jadi calon. Tetapi tidak di dalam Umno yang sudah ada hirarki, kerana ada yang lebih kanan. Bila sampai masanya hendak pilih pemimpin waktu PRU, kita terikat dengan hirarki.

“Bukan saya katakana Hirarki) tidak betul atau tidak bagus, tetapi kita ada kekangan jika hendak pilih seseorang yang ada kredibiliti luar biasa tetapi dia tidak ada kedudukan dalam bahagian,

“sukar hendak kita pilih sebagai calon dalam PRU. Jadi kita kena perlu lakukan norma baru,” katanya.