Padah buka puasa tanpa penjarakan sosial 16 ahli keluarga dijangkiti Covid-19

Di saat pandemik Covid-19 masih menular seharusnya amalan berkumpul beramai-ramai dielakkan. (Gambar Facebook)

Di saat negara berdepan dengan pandemik Covid-19 hingga menyebabkan beberapa larangan terpaksa diambil termasuklah larangan untuk pulang ke kampung sudah pasti menyebabkan sesiapa sahaja terutamanya anak perantau merindukan kampung halaman.

Bagaimanapun tindakan untuk berkumpul bersama ahli keluarga yang ramai ternyata membahayakan.

Dan inilah yang berlaku apabila 16 ahli keluarga di Bahrain termasuk ibu bapa, adik-beradik dan beberapa kanak-kanak disahkan positif Covid-19 setelah menghadiri majlis berbuka puasa bersama.

Difahamkan, pada mulanya hanya salah seorang daripada ahli keluarga itu sahaja yang positif wabak itu, namun ia merebak kepada ahli keluarga lain.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Bahrain, hal ini terjadi kerana, kesemua anggota keluarga itu gagal mengikuti langkah pencegahan termasuk mengelakkan perhimpunan ramai, memakai topeng dan melakukan penjarakan sosial.

”Adalah menjadi tanggungjawab semua orang untuk mematuhi panduan dan langkah pencegahan sebagai usaha mencegah penyebaran virus.”

Pihak kementerian kini sedang menjalankan usaha untuk meningkatkan usaha dan memperluaskan kemampuan ujian mereka bagi memastikan keselamatan semua orang melalui pengesanan awal kes dan pengesanan kontak.

Setakat ini, Bahrain mencatatkan 4,774 kes jangkitan Covid-19, manakala 2,055 kes pulih dan 8 kematian turut direkodkan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]