Persaingan lama ancam hubungan baru Umno-PAS di Perak

Dalam perjanjian Muafakat Nasional, Umno dan PAS berikrar untuk mendukung kepentingan Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, dan Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

PETALING JAYA: Ketika Umno dan PAS merapatkan barisan di peringkat politik persekutuan, persaingan lama untuk meluaskan pengaruh dalam kalangan akar umbi Melayu mengancam untuk mengganggu kerjasama rasmi yang termeterai setahun lalu, sekurang-kurangnya di Perak.

Penyokong kedua-dua parti bersaing untuk meletakkan orang masing-masing sebagai wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, dianggap sebagai sumber pengaruh dalam kalangan parti politik Melayu.

Difahamkan persaingan untuk menjadi ketua kampung di kawasan-kawasan majoriti Melayu di Perak bermula sebaik sahaja Perikatan Nasional – gabungan longgar yang disertai pakatan Umno-PAS – mengambil alih negeri itu selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Sumber yang tahu tentang perkara itu berkata Umno dan PAS dulu bertemu hampir setiap hari untuk memastikan strategi mereka selaras dengan matlamat PN di negeri itu.

“Tetapi selepas exco baru angkat sumpah, mesyuarat yang diadakan Umno dan PAS lagi sedikit di beberapa kawasan.”

Sumber berkata “masalah” itu sebahagian besarnya berlaku di kawasan majoriti Melayu di mana Umno berada di barisan depan dan PAS berhasrat meluaskan pengaruhnya.

Kawasan seperti itu antaranya Rungkup, Gunung Semanggol, Kuala Kurau, Tualang Sekah, Kampung Gajah, dan Chenderiang.

Menurut sumber, setiap kawalan Parlimen kebiasaannya ada 30 hingga 50 ketua kampung, jawatan penting untuk mendapat sokongan bagi parti politik.

Beberapa jawatan itu kosong sejak khidmat ketua kampung yang dilantik semasa pentadbiran PH tamat pada April

Sumber berkata pelantikan di peringkat negeri dan seterusnya tidak menjadi masalah kerana pemimpin atasan boleh menunjukkan ada kerjasama.

“Tetapi di peringkat akar umbi, mereka nampaknya bersaing.”

Selain Umno dan PAS, katanya, adalah PPBM yang takut diketepikan dalam persaingan itu.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumum pada 9 Mac mengumumkan PPBM, Umno, dan PAS bsetuju untuk berganding bagi menubuhkan kerajaan baru.

PN memiliki 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri Perak. Daripada jumlah itu, 25 milik Umno, 4 milik PPBM, dan 3 milik PAS.

PH pula memiliki 26 kerusi, 18 milik DAP, 4 milik Amanah, dan 2 milik PKR.

Sumber berkata akar umbi PAS dan Umno mungkin tidak dapat menyuarakan ketidakpuasan hati secara terbuka sekiranya ketua kampung yang “salah” terpilih, kerana perjanjian Muafakat Nasional, pakatan politik yang dimeterai 2 parti Melayu itu tahun lepas.

Satu-satunya cara untuk mereka boleh menyuarakan bantahan adalah melalui peti undi pada pilihan raya umum akan datang.

Sumber bagaimanapun tidak nampak sebarang masalah di kawasan majoriti India dan Cina.

“PAS, Umno, dan PPBM bersaing untuk undi Melayu,” katanya.

“MIC akan dibenarkan lantik ketua di kawasan majoriti India dan MCA di kawasan majoriti Cina.”

Beliau menambah campuran ketua Melayu, India, dan Cina mungkin boleh berlaku di kawasan-kawasan itu.