Sarawak benar hotel, rumah tumpangan beroperasi di bawah PKPB

Hotel dan rumah tumpangan yang dibenarkan beroperasi perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan.

KUCHING: Semua hotel dan rumah tumpangan di negeri ini dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kata Menteri Pelacongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini.

Pada sidang media di sini, beliau berkata keputusan itu berkuat kuasa semalam.

“Bagaimanapun hotel yang diwartakan sebagai stesen kuarantin tidak dibenarkan menerima tetamu melainkan statusnya sebagai stesen berkenaan ditarik balik melalui warta pemberitahuan,” katanya.

Setakat ini terdapat 31 hotel di Sarawak dijadikan pusat kuarantin dan menempatkan 3,609 individu dalam pemerhatian (PUS) yang kembali dari luar negara, semenanjung, Sabah dan Labuan.

Karim berkata, hotel yang dibenar beroperasi hendaklah memastikan peraturan jarak sosial dipatuhi oleh tetamu, selain menyediakan pensanitasi tangan.

“Penggunaan topeng oleh kakitangan dan tetamu juga perlu dipastikan pada setiap masa dan semua arahan kesihatan serta prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa kesihatan dipatuhi sepenuhnya.

“Kemudahan umum seperti gimnasium, kolam renang, surau, sauna, spa, pusat perniagaan, bilik persidangan dan mesyuarat tidak boleh digunakan oleh tetamu,” katanya.

Restoran dan kafetaria di hotel dibenarkan beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 10 malam untuk bungkus, penghantaran, khidmat ke bilik dan makan secara ala carte.

Bagimanapun aktiviti makan di kedai tertakluk kepada syarat jarak sosial dari segi susunan kerusi.

Hidangan secara bufet tidak dibenarkan.

Karim juga berkata, pihak pengurusan hotel mesti melaporkan jangkitan dalam kalangan kakitangan dan tetamu kepada pihak berkuasa kesihatan.

Dalam pada itu pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Douglas Uggah Embas berkata, seorang pelajar yang pulang dari Temboro Karas Magetan di Jawa Timur disahkan positif virus tersebut di Sibu.

Katanya, pelajar itu pada mulanya didapati negatif dalam 2 ujian PCR di Kuching.

“Pelajar itu didapati positif selepas ujian ke-3 yang dijalankan oleh pegawai perubatan di Sibu,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada kes positif dilaporkan di daerah lain. Jumlah kematian akibat Covid-19 di Sarawak kekal 17 orang.

Dalam perkembangan lain, Uggah berkata, pegawai kerajaan dan petugas perkhidmatan perlu yang harus membuat perjalanan antara Kuching dengan Samarahan, Serian dan Batu Bau atas urusan kerja tidak perlu memohon permit daripada polis.

“Mereka dibenarkan bergerak dengan menggunakan pas atau surat kebenaran pejabat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga memutuskan bahawa sambutan Hari Raya dan Gawai di Sarawak dibenarkan untuk 1 hari dan hanya 20 orang anggota keluarga terdekat dibenarkan untuk hadir.