Tiada rancangan benar lebih banyak makmal swasta saring pekerja, kata menteri Sarawak

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James masing berkata, terdapat beberapa insiden sebelum ini yang menyaksikan sektor swasta membayar pengamal perubatan tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan sijil kesihatan palsu untuk pekerja asing. 

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak bercadang membenarkan lebih banyak makmal swasta melakukan saringan Covid-19 ke atas pekerja asing, kata Timbalan ketua Menteri James masing.

“Prosedur operasi standard (SOP) untuk saringan Covid-19 ke atas pekerja asing di negeri ini sebelum mereka mula bekerja tidak boleh digugat,” katanya selain menambah bahawa protokol ujian virus itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau menjawab gesaan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) semalam supaya kerajaan negeri melantik lebih banyak makmal ujian Covid-19 untuk menjalankan saringan ke atas pekerja asing.

James Masing

Menurut Sheda, beribu-ribu orang pekerja asing di Sarawak akan kembali bekerja dan mereka akan bersesak-sesak untuk membuat saringan di makmal Covid-19 swasta tunggal di Kuching yang dilantik oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ia berkata, di Kuching sahaja terdapat kira-kira 12,000 pekerja yang telah mendaftar untuk membuat saringan tersebut.

Masing bagaimanapun berkata, walaupun proses saringan ke atas pekerja asing akan mengambil masa, namun adalah lebih baik jika kerajaan negeri bersikap “tegas dan selamat”.

Beliau juga berkata, terdapat beberapa insiden sebelum ini yang menyaksikan sektor swasta membayar pengamal perubatan tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan sijil kesihatan palsu untuk pekerja asing.

Beliau berkata, jika majikan atau kontraktor berkeyakinan untuk memulakan semula kerja, maka mereka juga perlu mengambil kira risiko pekerja dijangkiti Covid-19.

“SOP menghendaki kontraktor bertanggungjawab ke atas semua kos perubatan dan sanitasi sekiranya pekerja dijangkiti di tapak kerja.

“Adillah jika kontraktor bertanggungjawab ke atas tapak kerja yang mereka kendalikan dan urus,” katanya.