Tidak bertanggungjawab… Tindakan IG ‘influencer’ rosakkan tanaman dikecam DBKL, bakal didenda

Ketika Iman baring, terdengar bunyi yang kuat dari dahan, menyebabkan Iman dan krew tertawa riang sebelum bangun kembali. (Gambar Instagram)

Mencintai alam sekitar serta memelihara keindahannya merupakan tanggungjawab semua tidak kiralah tua atau muda.

Malah usaha kerajaan untuk mencantikkan sekitar ibu kota dengan tanaman yang segar dan hijau seharusnya dianggap sebagai satu aset yang perlu dijaga bersama.

Namun apa yang dilakukan pengasas bersama jenama fesyen Leeyanarahman, Nur Liyana Abdul Rahman dan model Iman Alyssa Sahabudin menyebabkan mereka dikecam banyak pihak termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mereka juga dipanggil oleh pihak DBKL setelah video mereka merosakkan harta benda awam ketika melakukan penggambaran, dimuat naik ke laman sosial.

Sabtu lalu Nur Liyana berkongsi klip video di Instagramnya yang menunjukkan modelnya Iman Alyssa berbaring di atas pokok renek semasa mengambil gambar berhampiran projek River of Life (RoL) di pusat bandaraya.

Tindakannya itu turut mendapat kecaman netizen.

“Perempuan memang gigih dalam semua perkara atau gigih untuk bergambar je? Perempuan sanggup buat apa je untuk dapatkan gambar lawa kan. Hehe. Betul pepatah cakap, hidup perlukan PENGORBANAN,” kata posting di Instagramnya yang mempunyai lebih daripada 1.2 juta pengikut.

Lebih memeranjatkan, ketika Iman berbaring, terdengar bunyi yang kuat dari dahan, menyebabkan Iman dan mereka yang ada di sana tertawa riang sebelum menariknya untuk bangun kembali.

‘Tidak kira anda siapa atau apapun tujuan anda, anda telah melakukan kesalahan’ kecam DBKL. (Gambar Instagram)

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu mendapat perhatian DBKL dan pasukan RoL yang menyiarkan semula video Nur Liyana ke laman media sosial mereka.

“Tidak kira anda siapa atau apapun tujuan anda, anda telah melakukan kesalahan.”

RoL juga memberitahu Nur Liyana dan krewnya agar bersiap sedia untuk dikompaun kerana telah merosakkan tanaman hijau di situ.

Rata-rata netizen juga turut menyelar perbuatan tidak bertanggungjawab ini. Mereka meminta agar pihak DBKL mengenakan denda dan tindakan tata tertib yang sewajarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]