23 Adun PN dijangka menghadap Sultan Kedah esok

Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pagi tadi. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas di sini pada kira-kira 11.45 pagi tadi.

Ketibaannya yang diiringi Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff disambut oleh Menteri Besar Mukhriz Mahathir, Setiausaha Kerajaan Negeri Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Mufti Kedah Fadzil Awang.

Sultan Sallehuddin sebelum ini dilaporkan berada di Kuala Lumpur.

Susulan perkembangan politik semasa di Kedah, difahamkan Sultan Sallehuddin akan menerima menghadap 23 Adun daripada Perikatan Nasional (PN) esok.

Bagaimanapun, belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenainya dikeluarkan mana-mana pihak.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan sebanyak 23 akuan bersumpah (SD) daripada Adun Kedah dipersembah kepada Sultan Sallehuddin dengan mencadangkan calon baru sebagai menteri besar negeri itu.

Menurut laporan itu yang memetik Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, SD tersebut diserahkan ketika presiden Umno, PAS dan PPBM menghadap Sultan Sallehuddin di Kuala Lumpur semalam.

Pada Selasa, dua Adun PKR, Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) mengumumkan keluar parti serta menyatakan sokongan kepada kerajaan PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pada hari sama, ketua pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan 19 daripada 36 Adun hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Muhammad Sanusi mendakwa 4 Adun PPBM juga hilang kepercayaan kepada Mukhriz, yang juga merupakan timbalan presiden parti itu.