Berita baik… Qatar Airways mahu beri 100,000 tiket percuma buat ‘frontliners’

Untuk menghormati Hari Jururawat Antarabangsa 2020 yang jatuh pada 12 Mei, Qatar Airways mengumumkan syarikat penerbangan itu akan memberi tiket penerbangan pergi dan balik secara percuma sebagai tanda “terima kasih” kepada 100,000 pekerja kesihatan di seluruh dunia.

Ia juga sebagai menghargai usaha para barisan hadapan yang telah membahayakan diri sambil melindungi dan menyelamatkan nyawa mangsa wabak Covid-19.

“Kami di Qatar Airways sangat berterima kasih atas komitmen dan kerja keras para petugas kesihatan di seluruh dunia yang menjaga mangsa-mangsa [wabak Covid-19] pada masa yang sangat sukar ini,” kata Ketua Eksekutif Qatar Airways Group, Akbar Al-Baker, dalam satu kenyataan di laman web mereka.

“Sikap baik, dedikasi, dan profesionalisme mereka yang berani telah menyelamatkan ratusan ribu nyawa di seluruh dunia.”

Profesional kesihatan atau petugas barisan hadapan termasuk doktor, pengamal perubatan, jururawat, juruteknik mskmal, penyelidik klinikal, atau ahli farmasi dari setiap negara di dunia layak untuk memohon tiket ini.

Namun, bagi memastikan proses permohonan berjalan dengan adil dan telus, setiap negara akan menerima peruntukan tiket setiap hari berdasarkan jumlah populasi keseluruhan.

Pekerja barisan hadapan yang terpilih akan dapat menempah hingga 2 tiket pergi balik kelas ekonomi percuma ke mana sahaja pilihan destinasi yang merangkumi operasi Qatar Airways.

Selain itu, petugas barisan hadapan juga akan mendapat diskaun 35% di mana-mana kedai runcit Qatar Duty Free di hab syarikat penerbangan di Hamad International Airport (HIA) di Doha.

Para profesional di barisan hadapan boleh membaca terus syarat-syarat kelayakan dan membuat permohonan secara langsung di laman web Qatar Airways bermula 12 Mei 2020 sehingga 18 Mei 2020.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]