Hebat… Pertuturan tidak lancar bukan penghalang OKU ini berniaga ‘live’ di Facebook

Dale Alderic Teri dilahirkan OKU tidak menjadikan ia alasan untuk memasarkan produk jualannya di laman Facebooknya. ( Gambar Facebook)

Dilahirkan tidak sempurna seperti insan normal yang lain bukanlah menjadi penghalang untuk sesiapa sahaja berjaya dalam hidup.

Itu jugalah yang berlaku terhadap seorang lelaki yang menghidap penyakit Cerebral Palsy hingga mengakibatkan dia mengalami masalah pertuturan.

Namun itu tidak menghalang lelaki ini untuk menjalankan perniagaan di Facebook Live seperti orang lain.

Dale Alderic Teri yang dilahirkan dengan kelainan upaya tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk memasarkan produk jualannya di laman Facebooknya walaupun tidak boleh bertutur dengan sempurna seperti orang biasa.

Memandangkan negara ketika ini sedang berdepan pandemik Covid-19, Facebook Live menjadi pilihan para peniaga untuk menjual produk mereka sambil berinteraksi dengan pelanggan yang menonton melalui kaedah streaming di platfrom media sosial itu.

Sesi live yang dikendalikannya di akaun Scarpe Negozio My itu mencatat purata ribuan penonton setiap kali ia berlangsung. (Gambar Facebook)

Dengan kelainan yang dimilikinya itu, Dale mengambil inisiatif menggunakan fungsi chat di sesi live tersebut untuk berinteraksi bersama pelanggan yang berminat dengan produk yang dijualnya.

“Saya adalah seorang OKU yang cacat anggota dari golongan Cerebral Palsy,berusaha menjalani perniagaan online.

“Saya mohon maaf yang saya mempunyai masaalah pertuturan, seandainya rakan rakan sekalian tidak dapat memahami saya sila teks dengan saya dalam chat,” tulis Dale setiap kali bersiaran secara langsung.

Lebih mengejutkan, sesi live yang dikendalikannya di akaun Scarpe Negozio My itu mencatat purata ribuan penonton setiap kali ia berlangsung.

Malah sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), bapanya memetik laporan media tempatan berkata anaknya itu kini meluangkan masa sehingga 8 jam sehari untuk urusan perniagaannya berbanding hanya 2 jam sehari sebelum ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]