Johor, Perak benar solat Jumaat bersyarat mulai esok

Perlis, Johor dan Perak membenarkan solat Jumaat bersyarat mulai esok.

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Johor dan Perak membenarkan solat Jumaat di masjid dan surau mulai esok dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengenakan beberapa syarat.

Pejabat Mufti Johor menerusi satu kenyataan di Facebook berkata keputusan itu berdasarkan hujah mahu menegakkan syiar Islam dan berdasarkan kaedah feqah.

“Apa-apa perintah syarak yang tidak boleh dilakukan kesemuanya, maka janganlah pula ditinggalkan kesemuanya.

“Menghadkan bilangan jemaah adalah untuk mengelakkan masyaqqah (kesukaran) dan mudarat yang lebih besar iaitu penularan wabak Covid-19 yang boleh membawa kepada kematian,” menurut kenyataan itu.

Johor membenarkan solat Jumaat dengan syarat pelaksanaannya terhad kepada 12 jemaah sahaja yang terdiri daripada imam 1, imam 2, bilal, noja dan 8 ahli jawatankuasa masjid yang digilirkan.

“Manakala ahli kariah hendaklah menunaikan solat Zuhur di rumah masing-masing sebagai ganti solat Jumaat,” katanya.

Bagaimanapun Johor masih menangguhkan solat 5 waktu berjemaah, solat terawih, solat sunat Aidilfitri dan semua aktiviti masjid dan surau sehingga berakhirnya PKPB pada 9 Jun ini.

Selain solat Jumaat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak turut membenarkan solat sunat Aidilfitri tetapi tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk menghadkan kepada 12 jemaah yang terdiri daripada ahli jawatankuasa kariah dan pegawai masjid atau surau.

Ia juga tidak menggalakkan kariah berusia lebih 60 tahun hadir berjemaah.

“Setiap jemaah hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran, mengambil wuduk sebelum datang ke masjid dan membawa sejadah masing-masing.

“Mereka yang bergejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema tidak dibenarkan hadir,” menurut kenyataan majlis agama itu di Facebook.

Jumaat lalu, Perlis membenarkan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei sebagai langkah permulaan untuk membolehkan “syiar Jumaat” dihidupkan kembali.

Peraturan yang ditetapkan ialah jumlah jemaah, termasuk imam/khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang dari 2 orang dengan hanya pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid yang dibenarkan.

Pada 10 Jun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB dilanjutkan selama 4 minggu lagi sehingga 9 Jun ini.

Kawalan itu sepatutnya tamat pada 12 Mei ini.