Kadar pengangguran Malaysia dijangka 3.5% – 5.5% akibat impak Covid-19

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata, pembukaan semula sektor ekonomi ketika PKP dan menyediakan pakej rangsangan ekonomi membantu pekerja serta isi rumah menghadapi impak krisis Covid-19.

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran di negara ini diunjurkan dalam lingkungan 3.5% hingga 5.5% tahun ini berikutan impak penularan pandemik Covid-19, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin bagaimanapun berkata, langkah kerajaan membuka semula sektor ekonomi ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dan menyediakan pakej rangsangan ekonomi akan membantu pekerja serta isi rumah menghadapi situasi kritikal itu.

“Jika meneliti pengumuman kerajaan, kita mahukan penerusan ekonomi berjalan dengan cepat. Ini kerana lebih cepat ekonomi kita bergerak, maka akan ada pergerakan transaksi kewangan, sekaligus membolehkan ekonomi kita cepat pulih.

“Maka, pekerjaan akan dapat diwujudkan dan kadar pengangguran dapat dikawal. Oleh itu, kita menjangkakan julat maksimum kadar pengangguran dalam lingkungan 3.5% hingga 5.5% tahun ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Berdasarkan laporan statistik utama tenaga buruh di Malaysia pada Mac lalu yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan sebelum ini, jumlah penganggur meningkat 17.1% kepada 610,500 dengan kadar 3.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Uzir berkata, status permintaan dan penawaran buruh pada suku pertama tahun ini memberi isyarat awal ketidakseimbangan dalam pasaran buruh.

“Namun, perlu diingatkan kerajaan telah mengambil langkah mengimbangi keperluan pekerjaan, termasuk bagi lepasan pengajian tinggi baru berjumlah 300,000 dengan 350,000 setahun.”

Sidang media hari ini diadakan sempena penerbitan laporan statistik guna tenaga suku pertama 2020 berdasarkan Survei Guna Tenaga Suku Tahunan yang dilaksanakan ke atas pertubuhan formal dalam sektor swasta meliputi aktiviti utama – pertanian, perlombongan dan pengkuarian, pembuatan, pembinaan serta perkhidmatan.