Kerajaan gesa pengurusan kondominium tidak halang penyewa masuk kediaman

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata pengurusan kondominium hendaklah mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

PUTRAJAYA: Kerajaan menggesa pihak pengusan kondominium dan pangsapuri tidak menghalang pemilik dan penyewa masuk ke kediaman mereka setelah kembali semula ke bandar dari kampung halaman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berharap pihak pengurusan tidak mengambil tindakan sendiri.

“Itu bukan arahan daripada kerajaan. Itu arahan mereka, tindakan sendiri.

“Saya harap mereka tidak ambil tindakan sendiri, setiap prosedur operasi standard (SOP) atau arahan mestilah berdasarkan arahan dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan pemilik dan penyewa tidak dibenarkan masuk kondominium dan pangsapuri masing-masing oleh pihak pengurusan selepas kembali dari kampung.

Pergerakan pulang rakyat yang berada di kampung ke bandar susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula dari 7 hingga 10 Mei lepas.

Ismail berkata, ada dalam kalangan mereka yang dihalang masuk dan terpaksa menyewa di tempat lain.