Kes Covid-19 di Indonesia lepasi angka 15,000

21 kematian di Indonesia direkodkan semalam akibat Covid-19. (Gambar AP)

JAKARTA: Sebanyak 689 lagi kes baru Covid-19 dilaporkan di Indonesia menjadikan jumlah keseluruhan melepasi angka 15,000 sejak kes pertama dikesan pada 2 Mac lepas.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata rakyat negara itu perlu membudayakan gaya hidup sihat dan menjalani normal baru bagi membendung penularan virus pandemik berkenaan.

“Kes positif terus meningkat, kini 15,438 iaitu tambahan 689 lagi kes dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, 21 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian bertambah kepada 1,028 orang, manakala pesakit yang masih dalam pengawasan virus itu kini berjumlah 33,042 orang.

Pemerintah Indonesia melaksanakan perintah pembatasan sosial berskala besar (PSBB) sejak 15 Mac lepas secara berperingkat-peringkat dan ia dilanjutkan sehingga 22 Mei ini, manakala arahan pergerakan antara provinsi atau “balik kampung” dilarang sehingga 1 Jun depan.