Lebih 51,000 pekerja asing di Pulau Pinang akan disaring

Pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perkilangan di Pulau Pinang wajib menjalani ujian saringan Covid-19.

GEORGE TOWN: Seramai 51,208 pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perkilangan di negeri ini perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar serta Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata pekerja terlibat mula disaring hari ini dan jumlah itu dijangka meningkat.

“Langkah ini adalah keutamaan kerajaan negeri demi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat dan penduduk Pulau Pinang, tiada diskriminasi,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini.

Beliau berkata, semua pekerja asing yang dikehendaki menjalani ujian saringan itu perlu ke Padang Polo dekat Jalan Sepoy Lines yang dibuka selama sebulan, memandangkan kawasan itu mempunyai keluasan untuk menampung kehadiran orang ramai pada masa sama.

“Di sebelah pulau (di bawah rancangan MBPP), sebanyak 109 tapak pembinaan melibatkan 6,780 pekerja asing, manakala pekerja asing di sektor perkilangan seramai 11,772 orang.

“Pekerja di tapak pembinaan di kawasan Seberang Perai pula adalah seramai 7,656 orang melibatkan 127 tapak, manakala pekerja di sektor perkilangan 25,000 orang menjadikan jumlah keseluruhan pekerja asing di negeri ini dalam sektor pembinaan dan perkilangan adalah 51,208 orang dan 236 tapak pembinaan.”

Katanya, antara pihak terlibat dalam ujian saringan itu ialah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) cawangan Pulau Pinang, Penang Master Builders & Building Materials Dealers Association (PMBBMDA), BP Healthcare serta polis, di samping MBPP bertindak sebagai pihak yang akan memudahkan proses ujian saringan itu.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Yew Tung Seang berkata majikan yang ingin melakukan ujian saringan bagi pekerja asing mereka boleh menghubungi MBPP dan sekretariat PMBBMDA untuk maklumat lanjut.