Menteri janji pakej bantuan bagi pemandu bas sekolah

Pengusaha bas sekolah akan diberikan lesen perubahan sementara untuk membawa pekerja kilang dan menjadi pengangkutan pengantara di stesen pengangkutan awam.

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, kerajaan akan mengumumkan pakej pemulihan khas untuk membantu pemandu bas sekolah yang teruk terjejas akibat penutupan sekolah sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan 2 bulan lalu bagi membendung penularan Covid-19.

Katanya, beliau sudah membincangkan butiran pakej itu dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz.

“Kepada pengusaha bas sekolah, saya ingin menegaskan kami di Kementerian Pengangkutan sememangnya mendengar suara anda. Kerajaan juga mendengar rintihan anda. Kami sedar ramai pengusaha bas terpaksa gulung tikar kerana tiada pendapatan.

“Beri kami sedikit masa dalam beberapa hari atau bulan ini, kami akan mengumumkan secara terperinci pakej pemulihan khas bagi membela nasib pemandu bas sekolah di seluruh negara yang berdepan masalah kewangan susulan pelaksanaan PKP,” tulisnya dalam Facebooknya.

Bulan lalu, Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat memberitahu FMT, pengusaha memerlukan bantuan kerajaan kerana mereka berisiko menamatkan operasi disebabkan penutupan sekolah.

Katanya, pengusaha bas sekolah di bawah persekutuan itu membawa 1.5 juta pelajar daripada peringkat tadika sehingga sekolah menengah dan kebanyakan ibu bapa tidak mahu membayar tambang memandangkan sekolah masih ditutup.

Hari ini, Wee berkata, beliau turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) mengeluarkan lesen perubahan sementara (LPS) bagi membolehkan pengusaha bas sekolah membawa pekerja kilang.

Ini kerana, katanya, bas kilang hanya dibenarkan membawa 50% kapasiti penumpang seperti ditetapkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) demi mematuhi penjarakan sosial.

“Selain itu, kami sedang mengkaji kemungkinan pemberian LPS untuk membenarkan bas sekolah beroperasi sementara sebagai pengangkutan pengantara di stesen pengangkutan awam dan van sekolah pula menjalankan perkhidmatan penghantaran makanan dan bungkusan semasa tempoh PKPB ini.”

Beliau berharap langkah itu dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi pengusaha bas sekolah.