Pelajar UPSI tidak dibenar pulang susulan 2 kes positif Covid-19

Pelajar UPSI tidak dibenarkan pulang ke kampung bagi membolehkan ujian saringan dijalankan susulan 2 kes positif Covid-19 dalam kalangan mereka. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditahan daripada pulang ke kampung masing-masing bagi membolehkan ujian saringan dijalankan susulan 2 kes positif Covid-19 dalam kalangan mereka.

Beliau berkata, ujian saringan perlu dijalankan terlebih dahulu berikutan 2 pelajar universiti itu yang pulang ke Sabah baru-baru ini didapati positif Covid-19.

“Pelajar dari UPSI sahaja yang masih ditahan di universiti kerana kita nak buat saringan selepas berlakunya kes 2 positif (Covid-19) pelajar yang pulang ke Sabah.

“Mereka lama di universiti tak keluar ke mana-mana dalam tempoh lebih sebulan. Kita anggap tidak ada lagi jangkitan. Tetapi ada lagi tiba-tiba positif,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Ismail juga berkata, terdapat pelajar yang mahu pulang ke Sabah belum dibenarkan kerana beberapa urusan penerbangan belum selesai.