Peneroka harap Idris Jusoh keluarkan Felda dari zaman ‘gelap’

Idris Jusoh dilantik sebagai pengerusi Felda berkuat kuasa 1 Mei lalu.

PETALING JAYA: Peneroka Felda meletakkan kepercayaan dan harapan tinggi kepada Idris Jusoh untuk mengembalikan kegemilangan Felda selepas melalui zaman “gelap” ketika pentadbiran dahulu.

Mohd Abdul Karim dari Felda Sungai Koyan 3, berkata walaupun berat menerima dan mempercayai orang politik menerajui Felda, namun peluang perlu diberikan kepada Idris berdasarkan rekod beliau yang bersederhana dalam mentadbir ketika menjadi menteri besar dan menteri pendidikan tinggi.

“Kami harap zaman ‘gelap’ Felda berakhir di bawah Idris Jusoh, walaupun kita belum melihat hasil kerja beliau tapi berdasarkan apa yang dilakukan ketika menjadi menteri dan menteri besar Terengganu, nampak macam boleh harap,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Idris dilantik sebagai pengerusi Felda menggantikan Mohd Bakke Salleh berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Pengarah Besar Felda, Othman Omar sebagai berkata, beliau yakin Idris mampu mempercepatkan pemulihan Felda.

Idris sebelum ini pernah menyandang pelbagai jawatan, termasuk menteri Pengajian Tinggi dari Julai 2015 hingga Mei 2018 dan menteri Pendidikan II dari 16 Mei 2013, selain menteri Besar Terengganu (2004-2008), pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta timbalan menteri Usahawan (1995-1999).

Mohd Mustafa Harun dari kampung sama, berkata beliau tidak mengharap lebih dari pimpinan baru dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), selain dapat mengembalikan zaman kegemilangan Felda.

“Kita tidak minta lebih, kalau kerajaan baru dan pengerusi Felda baru dapat kembalikan keadaan sekarang kepada zaman kegemilangan dulu sudah cukup.

“Kita nak harga sawit kembali stabil, kebajikan peneroka terjamin dan generasi baru Felda ada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Shahran Hadar pula berkata beliau berharap Idris dapat mengurangkan isu kontroversi sepertimana yang didedahkan Pakatan Harapan ketika kempen pilihan raya umum lalu.

“Kita harap tiada lagi isu-isu kontroversi melibatkan Felda, dulu masa kempen PRU macam-macam kita dengar, betul atau tidak belum ada bukti, tapi yang pasti harga sawit selepas PH menang jatuh teruk, itu yang kita paling ingat, walaupun kebelakangan ini ada naik kembali.

“Kalau ada isu, tolong jawab dan perjelaskan secara terbuka, supaya seluruh rakyat khususnya warga Felda tahu dan tidak menerima maklumat yang tak tepat yang akhirnya membimbangkan kita,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi), Roslan Md Isa berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan Idris, khususnya dalam menyampaikan maklumat permasalahan yang berlaku.

“Saya menyokong dan meletakkan kepercayaan serta keyakinan saya kepada Idris Jusoh.

“Saya yakin diera kerajaan PN, beliau akan buat yang terbaik, kami dari Generasi bersedia bekerjasama untuk membantu beliau dalam melaksanakan misi dan visi Felda itu sendiri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai penerimaan orang politik menerajui Felda, Roslan berkata pelantikan individu perlu dibuat berasaskan merit.

“Sebenarnya pelantikan berasaskan kepada merit, keupayaan mengurus serta mentadbir. Jika pengerusi Felda bukan orang politik pun dia wajib ada ‘political will’.

“Pengerusi baru ini tumpuannya membuktikan perubahan ke arah yang lebih baik bagi peneroka Felda.”