Pengurusan kes bunuh Kevin Morais ditetap 18 Mei

Timbalan pendakwa raya Anthony Kevin Morais dibunuh 5 tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bunuh timbalan pendakwa raya Anthony Kevin Morais masih berjalan kerana peguam tidak dapat bertemu dengan anak guam di penjara untuk berbincang.

Peguam Sheelan Arjunan memberitahu hakim Azman Abdullah bahawa beliau tidak dapat memfailkan hujahan bertulisnya berikutan tidak dapat bertemu dengan 5 tertuduh di Penjara Sungai Buloh sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac.

Ia kemudian diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat bermula 4 Mei lepas.

“Saya harus membincangkan hujahan dengan mereka sebelum memfailkannya di mahkamah,” katanya kepada Azman ketika pengurusan kes.

Sheelan mewakili R Dinishwaran, 28; AK Thinesh Kumar, 27; M Vishwanath, 30; S Nimalan, 27; dan S Ravi Chandaran, 49.

Ravi adalah seorang pemberi pinjaman wang, sementara yang lain merupakan penganggur.

Mereka, bersama-sama ahli patologi Dr R Kunaseegaran, didakwa membunuh Morais yang mayatnya ditemui dalam sebuah tong yang dipenuhi dengan konkrit 5 tahun lalu.

Tidak ada seorang daripada tertuduh yang hadir di mahkamah hari ini kerana FMT difahamkan pendaftar tidak mengeluarkan perintah untuk mereka dihadapkan di depan hakim.

Azman menetapkan tarikh baru pengurusan kes pada Isnin supaya mereka dapat dibawa ke mahkamah kerana tertuduh mesti hadir untuk semua prosiding dalam kes jenayah.

Peguam N Sivananthan, yang mewakili Kunaseegaran berkata, beliau sudah memfailkan hujahan bertulisnya tidak lama dahulu.

Timbalan pendakwa raya Saiful Edris Zainuddin, yang mengetuai pendakwaan berkata, beliau tidak dapat membalas hujahan pembelaan itu kerana Sheelan belum memfailkan kes anak guamnya di mahkamah.

Pada 20 Nov 2017, Azman memerintahkan keenam-enam lelaki tersebut membela diri setelah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Kunaseegaran, Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath, Nimalan dan Ravi Chandaran mengaku tidak bersalah membunuh Morais, 55, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, pada 4 September, 2015.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 undang-undang sama, dan berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kunaseegaran pada mulanya dituduh bersubahat, tetapi pada 15 Mei 2017, tuduhan tersebut diubah menjadi mempunyai niat bersama dengan 5 lelaki berkenaan dalam pembunuhan Morais.