Terdapat 6 kluster berkaitan madrasah tahfiz

Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Terdapat 6 kluster covid-19 yang melibatkan madrasah tahfiz sehingga hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Enam kluster berkenaan Kluster Madrasah di Solok Duku, Melaka (4 kes positif), Kluster Madrasah Sungai Salan, Pahang (84), Kluster Madrasah di Sungai Lui, Selangor (172), Kluster Madrasah di Ayer Merbau, Melaka (41), Kluster Tahfiz di Lanchang, Pahang (6), dan Kluster Madrasah di Penanti, Pulau Pinang (6).

“Empat kluster ini merupakan subkluster kepada perhimpunan di Seri Petaling, manakala 2 lagi masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Kluster Madrasah di Solok Duku merupakan kluster terbaru berkaitan madrasah tahfiz, dengan 2 kes positif dikesan dalam kalangan 35 pelajar, dan 2 kes dalam kalangan 62 ahli keluarga guru, kakitangan, dan pelajar.

Tiga kes baru dilaporkan dari Kluster Madrasah di Sungai Salan. Tiada kematian dilaporkan dari semua kluster berkenaan.

Hisham melaporkan Kementerian Kesihatan menjalankan pengesanan kes secara aktif dan pendekatan tertumpu terhadap madrasah tahfiz susulan penularan kes Covid-19 dalam kalangan peserta perhimpunan di Seri Petaling.

Daripada 19,209 orang pelajar, guru, dan kakitangan yang dikenal pasti daripada 370 buah madrasah dan pusat tahfiz di seluruh negara, sebanyak 12,384 sampel, iaitu 64.5%, diuji.

“Keputusannya seperti berikut: 635 kes positif; 10,755 kes negatif; 994 kes masih menunggu keputusan,” katanya.

Berdasarkan saringan itu, kementerian mendapati kadar positif dalam kalangan “kumpulan berisiko” itu 5.1%, berbanding 4.4% pada 1 minggu lalu iaitu 7 Mei.

“Tren kenaikan kadar positif ini membimbangkan kerana ia menunjukkan kebarangkalian untuk menjangkiti orang lain dalam kalangan kumpulan ini semakin meningkat,” katanya.

Siasatan juga mendapati 96 orang daripada 635 kes positif, iaitu 15.1%, tidak mempunyai gejala saluran pernafasan.

“Ini seterusnya boleh mengakibatkan penularan Covid-19 yang lebih meluas dalam kalangan ahli keluarga mereka dan juga masyarakat setempat, sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil,” katanya.

Hisham hari ini memohon pelajar madrasah dan pusat tahfiz yang sudah pulang ke rumah ibu bapa atau penjaga menghubungi pejabat kesihatan daerah, klinik kesihatan atau hospital saringan yang berdekatan untuk menjalani pensampelan Covid-19.

Pelajar yang belum pulang diminta kekal berada di madrasah atau pusat tahfiz, serta menghubungi pejabat kesihatan daerah atau klinik kesihatan saringan terdekat.

“Kerjasama dari tuan punya atau pihak pengurusan madrasah juga dialukan untuk menghubungi pejabat kesihatan daerah yang berdekatan untuk memberi maklumat yang diperlukan berkaitan pelajar atau kakitangan di pusat masing-masing,” katanya.