Riza Aziz dibenarkan lepas tanpa bebas daripada tuduhan pengubahan wang

Penerbit Hollywood, Riza Aziz.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan untuk melepaskan tanpa membebaskan penerbit Hollywood, Riza Aziz yang dituduh dengan 5 tuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta.

Hakim Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas pendakwaraya ad hoc, Gopal Sri Ram beritahu mahkamah ia tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian di pihaknya.

“Suatu persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh yang mana terma-termanya adalah kerajaan persekutuan akan terima sejumlah wang yang banyak mencecah beberapa juta ringgit,” katanya, membaca kenyataan yang disediakan.

Sri Ram berkata jumlah itu secara langsung merujuk kepada isi pertuduhan.

Dengan persetujuan ini, katanya, pertuduhan terhadap Riza tidak akan diteruskan buat masa ini sementara menunggu perjanjian selesai.

“Pihak pendakwaan, dengan persetujuan tertuduh, memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk melepaskan tanpa membebaskan,” katanya.