Saksi: Pengarah Felcra terbuka kepada cadangan labur RM150 juta dalam unit amanah

Bekas pengerusi Felcra Bung Mokhtar Radin dan isteri Zizie Izzete ketika hadir prosiding mahkamah sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Seorang saksi dalam kes rasuah bekas pengerusi Felcra Bung Moktar Radin dan isteri memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa pengarah syarikat itu terbuka kepada cadangan untuk melabur RM150 juta dalam dana unit amanah.

Habibah Suleiman, yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah Felcra berkata demikian ketika disoal oleh peguam Bung Moktar, M Athimulan.

Beliau turut bersetuju bahawa ahli lembaga pengarah tidak membantah cadangan yang dibentangkan oleh pegawai kewangan Felcra, Mohd Azmy Abu Samah dalam mesyuarat pada 24 Nov 2014.

“Memang benar, pengerusi sangat terbuka terhadap cadangan itu, begitu juga dengan para pengarah,” katanya.

Habibah menambah ahli lembaga pengarah memainkan peranan aktif dalam mesyuarat dengan mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai cadangan itu.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Habibah, Bung Moktar, Ibrahim Muhammad, Baharum Mohamed, Abdul Fattah Abdullah, Ismail Kasim, Azaman @ Azman Ruslan, Azailiza Mohd Ahad dan Mohd Isa Hussain.

Isa adalah bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan dan merupakan wakil kerajaan persekutuan dalam syarikat itu.

Habibah turut mengesahkan surat yang ditandatangani oleh bekas menteri kewangan ke-2 Ahmad Husni Hanadzlah yang membenarkan pelaburan sebanyak RM150 juta oleh Felcra dalam dana unit amanah.

“Kalau saya tidak salah, saya diberitahu bahawa RM150 juta telah dikeluarkan kepada unit amanah Public Bank dalam satu pertemuan pada 16 Jun 2015,” katanya.

Bung Moktar dituduh menerima sogokan RM2.8 juta untuk menjamin pelaburan bernilai RM150 juta Felcra dengan Public Mutual Bhd menerusi 2 akaun pelaburan dana unit amanah milik isterinya Zizie Izzete.

Kesalahan itu didakwa berlaku di cawangan Public Bank Taman Melawati di sini, antara 12 Jun dan 19 Jun 2015.

Perbicaraan diteruskan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob pada 15 Mei.