Sarawak masih berhak ke atas minyak, gas, kata KM

Abang Johari Openg.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg hari ini menepis tanggapan kerajaan negeri menyerahkan hak ke atas minyak dan gas kepada Putrajaya, mengatakan tiada perjanjian antara Sarawak dan Petronas mengenai cukai jualan petroleum.

Beliau berkata apa yang ada hanya persefahaman iaitu Akta Kemajuan Petroleum (PDA) diiktiraf di tempat lain tetapi di Sarawak, isu itu ditadbir Ordinan Perlombongan Minyak.

“Kami berhak ke atas minyak dan gas kami, sebab itu kami ke mahkamah, dan mahkamah putuskan kami berhak ke atas perkara itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Beliau menjawab kritikan mengenai perkara itu daripada beberapa pemimpin pembangkang dan NGO.

Beliau juga berkata satu jawatankuasa bawah kerajaan persekutuan dan dipengerusi bersama Menteri Kanan (Prasarana), Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz akan merundingkan “aturan” baru berhubung perkara itu.

“Hasil rundingan ini akan dibincangkan oleh jawatankuasa perundingan Sarawak tentang Perjanjian Malaysia,” tambahnya.

Pada Januari tahun lepas, Sarawak mengenakan cukai jualan 5% ke atas produk petroleum Petronas mengikut Ordinan Cukai Jualan negeri itu. Petronas bagaimanapun enggan membayar cukai itu, mengatakan ia tidak mengikut perlembagaan, lalu membawa kepada tindakan undang-undang oleh kerajaan negeri.

Pada 13 Mac, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Sabah dan Sarawak berhak mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum, menolak cubaan Petronas memohon cukai jualan itu diisytiharkan tidak sah dan terbatal.

Perjanjian bersama Petronas dan Jabatan Ketua Menteri minggu lepas mendedahkan Petronas bersetuju untuk membayar RM2 bilion cukai jualan kepada Sarawak selepas mencapai suatu penyelesaian ke atas pertikaian mengenai pengurusan minyak dan gas yang dilombong di negeri itu.

Ia juga berkata semua perjanjian terdahulu bawah PDA kekal sah dan berkuatkuasa.

“Petronas masih diiktiraf sebagai syarikat minyak negara yang mempunyai kuasa penuh dalam mengawal selia seluruh pembangunan industri minyak dan gas di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Fadilah berkata konsensus antara kerajaan persekutuan dan Sarawak akan membolehkan kerajan negeri terlibat sama dalam membangunkan industri minyak dan gas di negeri itu, tanpa mengubah peranan Petronas sebagai syarikat petroleum negara.