Sekarang saya ialah pengerusi PH, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata, pemilihannya sebagai pengerusi PH dan ketua pembangkang ialah konsensus yang dicapai dalam PH.

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, beliau kini ialah pengerusi Pakatan Harapan (PH), jawatan yang dipegang Dr Mahathir Mohamad sebelum PPBM meninggalkan gabungan itu.

“Saya nak beritahu bahawa dalam keputusan Pakatan Harapan, saya sekarang pengerusi PH dan ketua pembangkang.

“Walaupun ada usaha-usaha atau orang lain yang mahu mencabar kedudukan itu, tetapi (itu) konsensus yang dicapai dalam PH,” katanya dalam video dimuat naik ke Facebook.

Anwar turut mempertahankan keputusan PH bekerjasama dengan Mahathir dalam blok pembangkang, walaupun dikritik dan dipersoalkan netizen.

Sebagai ketua pembangkang, katanya, beliau mewakili semua ahli Parlimen pembangkang, termasuk Mahathir dan puaknya daripada PPBM serta Warisan.

Beliau berkata, apa yang penting ialah perjuangan PH dan semangat agenda pembaharuan tidak luntur.

Anwar berjanji PH akan terus memperjuang dan memfokuskan kepentingan serta masalah dihadapi rakyat.

“Pertimbangannya ialah kembali kepada idealisme perjuangan dan ujiannya ialah bila kita ada kuasa.”