Selangor kekal larangan solat berjemaah

Jabatan Agama Islam Selangor berkata, solat Jumaat hanya dibenarkan untuk AJK masjid dan imam antara 3 hingga 12 orang mulai esok.

SHAH ALAM: Selangor mengekalkan keputusan tidak membenarkan orang ramai menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau di negeri itu bagi mengekang penularan Covid-19.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, solat Jumaat hanya dibenarkan untuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan imam dalam jumlah 3 hingga 12 orang mulai esok.

“Hanya AJK masjid dan imam dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di masjid negeri, masjid diraja serta masjid daerah,” kata Jais dalam kenyataan hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas hasil perbincangan antara Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jais mendapat kebenaran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, sebarang ketetapan baru mengenai isu itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pada 13 April lalu, Sultan Sharafuddin mengarahkan solat Jumaat, solat berjemaah dan aktiviti ceramah di masjid, surau dan musollah ditangguhkan sehingga 31 Mei ini bagi mengekang penularan Covid-19.