Sidang Parlimen 1 hari bukti PN takut usul undi tidak percaya Dr M, kata Mat Sabu

Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini berkata sidang Parlimen 1 hari minggu depan menunjukkan gabungan Perikatan Nasional (PN) takut dengan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata langkah itu telah dijangka dan tidak mencerminkan kewibawaan dan sikap demokrasi kerajaan PN.

“Semestinya kita menjangkakan mereka akan berselindung di sebalik alasan ‘sudah-sudahlah berpolitik’ walaupun mereka sendiri yang ghairah merampas dan mengagih kuasa semasa wabak Covid-19 menular,” katanya.

“Sekiranya Parlimen tidak dijadikan medan terbuka yang berkesan untuk menunjukkan sistem demokrasi dalam negara, adakah ini bermakna jalan raya bakal menjadi medan penentu selepas ini?

“Terang lagi bersuluh kerajaan PN kini bukan sahaja kerajaan pintu belakang tetapi juga kerajaan tanpa tulang belakang.”

Dewan Rakyat pada mulanya dijadualkan bersidang selama 15 hari bermula 18 Mei selepas ditangguhkan dari 9 Mac berikutan pertukaran kerajaan.

Namun, ahli Parlimen kemudian diberitahu Dewan Rakyat akan bersidang selama 1 hari pada 18 Mei.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berusaha untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap penggantinya Muhyiddin Yassin semasa persidangan itu.

Walaupun usul itu diluluskan oleh Mohamad Ariff Md Yusof, speaker Dewan Rakyat itu kemudian menetapkan tiada sidang akan diadakan selepas selesai titah Yang di-Pertuan Agong yang dijadualkan pada jam 10 pagi hari itu.