Sultan Johor beri amaran Adun jangan sebar ‘virus perpecahan’

Sultan Johor berkata virus perpecahan perlu dibendung bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sultan Johor memberi amaran kepada para Adun supaya tidak menyebarkan “virus perpecahan” dengan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, virus berkenaan sudah menular dalam kalangan pemimpin politik apabila berlakunya pergolakan dan perebutan kuasa yang merunsingkan rakyat serta mengugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi.

“Mereka yang dijangkiti virus ini akan lupa diri dan tidak akan pedulikan tentang kepentingan rakyat, asalkan mereka dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri,” katanya ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan ke-3 Dewan Negeri Johor ke-14 hari ini.

Tambah Sultan Ibrahim, virus berkenaan mudah merebak melalui saluran media sosial yang bebas, dibantu oleh ejen media dan tentera siber yang menjadi batu api dengan membangkitkan isu-isu sensasi untuk menambah kebencian dalam kalangan pemimpin politik dan rakyat.

Bahkan Sultan Ibrahim mahu semua Adun berganding bahu membantu rakyat yang sedang susah akibat terkesan dengan wabak Covid-19.

“Saya berharap virus perpecahan ini dapat dibendung bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan hidup rakyat yang telah kita bina selama ini,” katanya.