Zahid gesa Putrajaya permudah, perluas bantuan Prihatin

Ahmad Zahid Hamidi berkata, ekonomi negara sukar pulih jika rakyat terpaksa mencatu perbelanjaan kerana tiada wang dan semua sektor akan mengalami kerugian jika keadaan ini berterusan.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan mempermudah dan memperluaskan pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi membantu lebih ramai rakyat terjejas.

Ini kerana katanya, kadar pengangguran di dalam negara dijangka meningkat melebihi jangkaan susulan kenyataan Gabenor Bank Negara semalam.

Zahid berkata, memperluaskan BPN dapat membantu lebih ramai orang yang mungkin kehilangan pekerjaan tidak lama lagi, merangsang permintaan pengguna dan pemulihan ekonomi akibat impak krisis Covid-19.

“Pada hemat saya, kerajaan hendaklah meluluskan peruntukan tambahan bagi BPN ini jika perlu. Jangan ditetapkan jumlah dana bagi bantuan ini kepada had tertentu.

“Adalah wajar kerajaan memastikan tiada rakyat yang memerlukan tercicir daripada mendapatkan bantuan ini. Kerajaan tidak akan rugi sedikitpun jika terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk rakyat, malah ramai pihak akan mendapat manfaatnya,” tulisnya dalam Facebook hari ini.

Semalam, Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus dilaporkan berkata, kadar pengangguran akan meningkat secara ketara pada suku kedua tahun ini dan menyebabkan kadar keseluruhan lebih tinggi daripada unjuran asalnya 4%.

Katanya, kenaikan kadar pengangguran itu susulan langkah drastik syarikat dan majikan mengurangkan kos susulan permintaan lemah daripada impak Covid-19.

Terdahulu, Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin hari ini dilaporkan berkata, kadar pengangguran negara diunjurkan dalam lingkungan 3.5% hingga 5.5% tahun ini berikutan impak penularan Covid-19.

Katanya, status permintaan dan penawaran buruh pada suku pertama tahun ini memberi isyarat awal ketidakseimbangan dalam pasaran buruh.

Berdasarkan laporan statistik utama tenaga buruh di Malaysia pada Mac lalu yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, jumlah penganggur meningkat 17.1% kepada 610,500 dengan kadar 3.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sabtu lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan pengagihan RM1.7 bilion di bawah BPN kepada 2.3 juta permohonan baru dan rayuan untuk bantuan tunai itu.

Terdahulu, kementerian itu mengumumkan tempoh permohonan baru dan rayuan dibuka bermula 1 hingga 30 April lalu bagi memastikan bantuan tunai itu sampai kepada mereka yang benar-benar layak serta memerlukan.

Keseluruhan penerima BPN buat masa ini ialah 10.6 juta membabitkan bayaran RM11 bilion, tambahan RM1 bilion berbanding peruntukan asal RM10 bilion.

Pemohon BPN yang gagal mempunyai masa sehingga 31 Mei ini untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Antara sebab utama permohonan ditolak LHDN ialah pemohon mempunyai pendapatan melebihi syarat, tidak mematuhi syarat tertentu seperti kelayakan umur dan status pelajar sepenuh masa.

Zahid berkata, hampir separuh daripada 1.05 juta permohonan BPN yang ditolak terdiri daripada individu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Sesiapa yang diberhentikan kerja, tetapi data masih tidak dikemas kini di LHDN juga dialu-alukan membuat rayuan, termasuklah pemohon dengan pendapatan tidak seberapa yang pernah mendaftar perniagaan dengan SSM, tetapi sudah tidak aktif berniaga.”

Katanya, ekonomi negara sukar pulih jika rakyat terpaksa mencatu perbelanjaan kerana tiada wang dan semua sektor akan mengalami kerugian jika keadaan ini berterusan.

“Saya sarankan kerajaan permudahkan pemberian BPN kerana ia satu tindakan menang-menang. Wang di tangan rakyat yang dibelanjakan akan mengalir kepada perniagaan dan apabila perniagaan menjadi rancak, ia akan memberi signal kepada kilang untuk kembali beroperasi.

“Sekiranya keyakinan rakyat kepada kerajaan dan keyakinan perniagaan dapat dipulihkan, insya Allah sebarang pemulihan ekonomi yang dirancang nanti akan lebih mudah dilaksanakan dengan berjaya.”