1 maut dilanggar kereta lawan arus di Jambatan Pulau Pinang

Keadaan di tempat kejadian selepas sebuah Perodua Myvi yang dipandu dengan laju dan melawan arus melanggar 2 motosikal di laluan betul di susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang hari ini. (Gambar Twitter)

BUTTERWORTH: Seorang penunggang motosikal maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu melawan arus dari Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang menuju ke arah Lebuhraya Utara Selatan hari ini.

Dalam nahas 10.35 pagi itu, Mohamad Hafiz Bakri, 31, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala Lim Kar Tian, 34, cedera parah, termasuk patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata nahas itu berlaku apabila Perodua Myvi putih dipercayai dipandu dalam keadaan laju dan melawan arus, manakala 2 motosikal terbabit berada di laluan betul dan ingin masuk ke bahagian pulau melalui Jambatan Pulau Pinang.

“Menurut pengguna jalan raya yang melihat kemalangan itu, pemandu Perodua Myvi tersebut terus memecut meninggalkan lokasi kejadian selepas melanggar 2 motosikal itu sehingga seorang maut, manakala seorang lagi cedera parah.

“Difahamkan, terdapat kerosakan pada bahagian depan kereta tersebut, namun menurut pengguna jalan raya lain, mereka tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan itu,” katanya hari ini.

Shafee berkata, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup berhampiran lokasi kejadian bagi mengenal pasti nombor pendaftaran kereta itu untuk mengesan pemandunya.

Katanya, mayat Hafiz dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, manakala mangsa parah dihantar ke hospital sama untuk dirawat.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Perodua Myvi yang melanggar kedua-dua motosikal itu menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”