113 warga asing ditahan dalam serbuan di Selayang Baru

Pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen di Selayang Baru semalam. (Gambar Jabatan Imigresen Malaysia)

PETALING JAYA: Seramai 113 warga asing, termasuk 36 wanita dan 11 kanak-kanak ditahan dalam satu serbuan di Selayang Baru semalam kerana melanggar peraturan imigresen.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada 63 warga Indonesia, 22 dari Myanmar, 19 dari India, 6 dari Bangladesh, 2 dari Pakistan dan seorang dari Nepal.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, antara kesalahan yang dilakukan mereka ialah tiada dokumen sah, tinggal lebih masa dan memiliki dokumen palsu.

Katanya, mereka akan disiasat di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Beliau berkata, semua 113 warga asing itu negatif Covid-19.

“Mereka akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitamkan (daripada memasuki Malaysia semula).”

Khairul berkata, serbuan itu yang dilakukan di sekitar kawasan tempat tinggal warga asing ketika bekerja di pasar borong, turut disertai polis, Rela, Angkatan Pertahanan awam, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Ini menyusul serbuan yang dilakukan pegawai imigresen di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang pada awal minggu ini.

Dalam serbuan itu, seramai 1,368 pendatang tanpa izin ditahan, termasuk 98 kanak-kanak.